Monday, October 4, 2010

Selamat Menghadapi PMR

Esok, 5 Oktober 2010 PMR akan bermula.
Untuk kali kedua, anak-anak di sekolah kita akan menghadapinya. Begitu jugalah seterusnya bagi tahun-tahun mendatang. Kita amat yakin dan percaya dengan usaha gigih guru-guru, semangat dan iltizam anak-anak kita dan dengan diiringi doa oleh ibubapa, kejayaan akan sekali lagi dapat dicipta.
Kita telah belajar dari kesilapan lalu, kita telah menambah apa yang kurang malah kita telah menyediakan yang terbaik untuk anak-anak kita. Insyaallah dengan usaha-usaha yang telah dibuat, kita bertawakkallah.
Didoakan agar anak-anak kita akan dapat menterjemah apa yang telah dipelajari selama ini ke atas kertas jawapan. Dapat menjawab dengan tenang dan tepat. Dapat mengarang dengan lancar dan bernas. Dapat memilih jawapan yang terbaik dan betul. Kesihatan mereka juga berada dalam keadaan baik. Fikiran yang tenang dan jiwa yang kental. Atas segalanya kita panjatkan Doa agar mereka memperoleh kejayaan yang cemerlang. Amin Ya Rabbal A'lamin

Wednesday, September 8, 2010

Selamat Hari Raya Aidil Fitri

Assalamualaikum wbt,
Semoga ibadat yang kita lakukan selama ini diterima oleh Allah swt.
Alhamdulillah, setelah sebulan kita berada di Akademi Ramadhan, bukan sahaja kita berjaya menahan lapar dan dahaga, malah lebih bererti lagi kita dapat mendekatkan diri kepada Allah. Semoga tarbiah ini berterusan menjadi amalan yang berpanjangan.
Syawal adalah hari kemenangan yang harus dirai. Dalam meraikannya jangan lupa ada tugas besar di hadapan yang menanti. Bagi calon-calon PMR dan SMA, hari2 yang dilalui harus diguna sebaik mungkin, persediaan yang dibuat bukan sekadar untuk lulus tetapi untuk mencapai kecemerlangan dan usahanya juga bukan kepalang, iringilah dengan doa dan insyaallah kejayaan akan menanti.
Dikesempatan ini saya secara peribadi dan juga bagi pihak saf kepimpinan PIBG menyusun sepuluh jari memohon ampun maaf atas ketidaksempurnaan kami dalam melaksanakan tugas ini, salah silap, kata-kata yang kurang menyenangkan dan tingkah laku yang sumbang, dan niat-niat yang tidak baik. Marilah kita sama-sama terus memberi sokongan dan sumbangan untuk kebaikan dan kecemerlangan agama, akademik dan sahsiah anak-anak kita khususnya dan Smamaiwp amnya.
Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir Batin
Abdul Hayi Md Noh
Yang Dipertua PIBG Smamaiwp

Saturday, July 24, 2010

Program Sembelihan 2010




Alhamdulillah pada 24 Julai 2010 telah berlangsung program sembelihan SmaMaiwp 2010. Dengan penglibatan guru-guru dan ibubapa yang menyertai ibadah aqiqah sekaligus, program kali ini, telah menumbangkan seekor lembu.
Wah betapa ramai dan meriahnya suasana sehingga lembu itupun tak berani nak melawan.
Pihak AJK Masjid telah turut menyumbangkan tenaga untuk menumbang, menyembelih, melapah dan mencincang daging bersama-sama ibubapa yang hadir. Dan tentunya penglibatan aktif para guru dan pelajar yang tidak kenal penat menyelesaikan sessi pertama pagi itu.
Sessi kedua diikuti sembelihan ayam oleh pelajar tingkatan 3. Tanpa rasa sangsi dan gementar, 70 ekor ayam telah disembelih.
Sessi ke tiga, pertandingan masakan antara kelas telah diadakan. Cukup teruja dengan aneka masakan dan rasa yang menyelerakan hasil tangan anak-anak kita. Meja hidangan pulak dihiasi dengan cantik dan penuh kretiviti.
Sessi yang ditunggu-tunggu ialah jamuan tengahari. Daging lembu telah dimasak kurma dan kicap, juga sup, semuanya licciinnnnn... Ayam bakar juga tidak tersisa..... Semuanya sedap, hingga menjilat jari, alhamdulillah.
Akhirnya saya merakamkan setinggi penghargaan, tahniah dan terimakasih kepada guru-guru dan anak-anak yang bertungkuslumus menjayakan program ini. Juga kepada AJK Masjid dan ibubapa yang turut serta menyingsing lengan, terutama En Zainal yang sudi memasak daging berkenaan.

Terimakasih kepada semua, semoga jumpa lagi tahun depan.











Sunday, July 18, 2010

Exco Baru 2010-2011

Pada 17 Julai 2010 lalu telah berlangsung Mesyuarat Agong kali ke-2, PIBG SmaMaiwp. Dengan kehadiran ibubapa yang pada mulanya amat mencemaskan, perlahan-lahan telah memenuhi dewan di Tingkat 3 Blok baru. Persidangan berlangsung dengan aman dan lancar.
Terimakasih kepada seluruh jentera, samada dari kalangan guru-guru dan murid-murid yang bertungkuslumus menyiapkan kemudahan persidangan ini. Juga terimakasih kepada ibubapa yang sudi hadir menunaikan tanggungjawab.
Tahniah kepada barisan Exco baru yang dipilih memimpin PIBG pada kali ini. Semoga kepercayaan yang diberi dapat diterjemah dengan sumbangan yang bermakna kepada sekolah, anak-anak, guru-guru dan ibubapa keseluruhannya. Tidak ketinggalan penghargaan dan ucapan terimakasih yang tak terhingga kepada mantan AJK lama yang telah menabur bakti dan idea kepada PIBG. Semoga jasa Tuan2 dan Puan2 akan diberi nilaian yang setimpal oleh Allah swt.
Insyaallah, maklumat penuh Exco baru akan dipaparkan di blog ini sedikit masa lagi.
Hai, dengar khabar YDP lama kekal, alamak dia lagi ke...aduhai...

Friday, May 7, 2010

Selamat Datang Tuan Pengetua

7 Mei 2010 warga Smamaiwp menerima Tuan Pengetua baru. Seorang yang amat berpengalaman dalam pendidikan. Berasal dari Kelantan dan sepanjang perkhidmatannya telah bertugas di Terengganu. Berpengalaman sebagai Pengetua di beberapa SABK atau lebih dikenali sebagai SMKA di Terengganu.
Beliau yang dimaksudkan adalah Pengetua baru, Ustaz Mohd Adnan bin Hj Abdullah. Semoga dengan pengalaman dan idea-idea bernas beliau, akan dapat membawa Smamaiwp ke mercu yang lebih gemilang, insyaallah dengan kerjasama semua pihak, guru2, ibu bapa, kakitangan sokongan serta semangat anak2 didik kita, apa yang dicitakan akan dapat dicapai.
Siang tadi telah berlangsung majlis ringkas penyerahan tugas daripada Mantan Pengetua Ustaz Shahidin bin Tinik kepada Pengetua baru, Ustaz Mohd Adnan bin Hj Abdullah.
Selamat datang Ustaz Mohd Adnan.

Thursday, May 6, 2010

Terimakasih Ustaz Shahidin


Tanggal 6 Mei 2010 terpahat dalam lipatan sejarah, Pengetua yang dikasihi oleh seluruh warga SMAMAIWP merakamkan kad perakam waktunya buat kali terakhir.
Setelah berkhidmat selama lebih kurang 3 tahun di sekolah ini, Ustaz Shahidin bersara dari arus perkhidmatan awam sepenuhnya.
Kecemerlangan Akademik dan pengalaman yang luas dalam pentadbiran telah dicurahkan sepenuhnya untuk membina dan menyediakan asas untuk Smamaiwp. Dengan iltizam serta semangat serta kerjasama dari semua pihak Smamaiwp telah melakar sejarah yang amat cemerlang dalam peperiksaan PMR tahun lalu.
Segala usaha beliau akan dikenang sepanjang hayat, pesanan dan kata-kata perangsangnya akan menjadi pencetus semangat anak-anak didik dan bekas kakitangan serta AJK PIBG.
Mohon keampunan dan kemaafan sekiranya terdapat salah laku kami dan kata-kata yang mengguris, niat2 yang tidak baik serta apa saja yang tak berkenan di hati.

Tuai padi antara masak,
esok jangan layu-layuan,
intai kami antara nampak,
esok jangan rindu-rinduan.

Acara Perpisahan yang penuh simbolik telah diadakan di Dewan Masjid Saidina Othman Affan yang tentu sekali akan meninggalkan kenangan abadi kepada Ustaz, sekali lagi terimakasih Ustaz Shahidin.

Wacana Ilmu - Seminar Keibubapaan



Pada 17 April 2010, bertempat di Dewan Masjid Saidina Othman Affan telah berlangsung acara Wacana Ilmu - Seminar Keibubapaan yang julung-julung kali dianjurkan oleh PIBG.
Dua ahli panel iaitu Profesor Madya Datuk Haji Mohamad Ali Hasan, Presiden PIBG Nasional dan Pn Noraini Ahmad, Ketua Jabatan, Jabatan Kaunseling dan Bimbangan Kerjaya Universiti Islam Antarabangsa telah diundang menyampaikan Kertas Kerja masing-masing.
Bila 2 orang yang pakar dalam bidang masing-masing membentangkan Kertas Kerja tentu banyak butiran idea dan saranan yang dilontarkan, yang semuanya menjurus kepada tema Seminar, Membina Ibu Bapa Cemerlang, Anak Gemilang





Program2 PIBG

Assalamualaikum wbt,
Setelah sekian lama sunyi sepi dari berita aktiviti PIBG, saya terpanggil untuk mengemaskini laman ini.
Sepanjang bulan April yang lalu telah dilangsungkan 3 program samada tajaan mahupun secara langsung penglibatan PIBG, iaitu ;
10 dan 11 April - Kursus Kepimpinan Pengawas
17 April - Wacana Ilmu - Seminar Keibubapaan
24 April - Seminar Motivasi PMR
Kesemua acara telah berlangsung dengan jayanya. Setinggi penghargaan kepada semua AJK yang terlibat.

Thursday, January 21, 2010

Majlis Kesyukuran PMR

Alhamdulillah dengan keputusan PMR 2009 lalu yang amat memberangsangkan, kita panjatkan kesyukuran kehadrat Allah swt dengan anugerah dan RahmatNya ini. Untuk tujuan itu satu majlis Doa Kesyukuran akan diadakan di Masjid Saidina Othman Affan pada 22 Januari 2010 ini. Majlis yang akan bermula dengan Solat Maghrib, disusuli Doa Kesyukuran, Solat Isyak dan diakhiri dengan sedikit jamuan ringan.
Dengan penuh takzimnya dijemput ibu bapa pelajar Tigkat 4 khususnya untuk hadir ke majlis berkenaan.
Semoga dengan kesyukuran ini, berlebih-lebih lagi hendaknya Rahmat yang akan dikurniakan, insyaallah.

Tuesday, January 12, 2010

Selamat Kembali Ke Sekolah

Hari minggu yang lepas selamatlah anak-anak kita memasuki Smamaiwp [asrama] sepenuhnya. Dari pengambilan baru tingkatan 1 hingga senior mereka tingkatan 4. Terdapat sedikit kekalutan di asrama Zeelan bilamana dorm puteri2 tidak sedia sepenuhnya, yang mana telah digunakan oleh pelajar lelaki tingkatan 1 sempena Minggu Ukhuwah mereka. Walau bagaimanapun dengan kerja keras AJK MUI dan guru2, masalah ini dapat segera diselesaikan. Suasana agak sesak, almaklum pelajar tingkat 4 dengan beg2 pakaian ingin mendaftar, sementara keluarga pelajar tingkatan 1 datang menziarah.
Sementara itu pelajar puteri tingkatan 1 yang sepatutnya ditempatkan di Asrama Kampung Baru, tidak dapat dipindahkan pada hari itu kerana asrama tersebut masih diubahsuai dan dijangka siap dalam minggu ini. Mereka ditempatkan sementara di asrama Zeelan. Kepada anak2 dan ibubapa diharap dapat bersabar sedikit dalam perkara ini dan insyaallah pihak Maiwp dan sekolah khususnya dan PIBG juga akan cuba menyelesaikannya sedaya mungkin.

Wednesday, December 30, 2009

Peralihan baru..

Pada 10 Ogos yang lalu, saya telah mengumumkan akan mengundur diri dari mengendalikan blog ini dan blog sma. Ia disebabkan proses peralihan biasa yang berlaku dalam kepimpinan PIBG. Namun disebabkan beberapa masalah, peralihan itu tidak berjalan lancar. Saya masih lagi mengepos beberapa catatan ke blog-blog ini. Hari ini, saya terserempak dengan Pencatat II dan beliau bersetuju untuk mengambilalih blog2 ini. Saya yakin blog-blog ini akan lebih sentiasa dikemaskini berita dan gambar2nya. Selamat maju jaya!

Thursday, December 24, 2009

Fakta Keputusan PMR 2009

Ramainya yang mendapat A.
Lihat di sini

Keputusan PMR...Alhamdulillah

Alhamdulillah..semua anak kita yang menduduki PMR di SMA MAIWP seramai 172 orang lulus 100%.
43 orang mendapat 9A.
Seramai 149 orang atau 86.62 % mendapat 5A dan ke atas.
Mabruk!

*Maklumat disediakan oleh SUP PMR 2009.

Wednesday, December 23, 2009

Penantian suatu penyiksaan

Insyaallah, esok 24 Disember 2009 keputusan PMR akan diumumkan. Sejarah akan tercatat di SMA-MAIWP, anak PMR sulung kita melakarnya. Walau apa angka yang tercatat, semua pihak turut menyumbangnya. Tahniah kepada semua anak-anak kita, kamu permata hati ibu bapa. Terimakasih dan penghargaan kepada seluruh warga smamaiwp yang dengan usaha gigih dan kerja keras serta rasa tidak pernah jemu untuk menggapai impian ini.
Sekali lagi tahniah.

Monday, December 7, 2009

Salam Cuti

Hampir 2 minggu sekolah ditutup. Ibu bapa tentunya mempunyai perancangan untuk mengisi hari-hari terluang anak-anak. Dari menziarahi nenek dan atuk di kampung sehinggalah menghantar anak-anak ke kursus-kursus motivasi dan hafazan. Semuanya digarap dan dilakukan untuk memberi pendedahan dan mengenal erti kehidupan kepada anak-anak.
Dalam pada itu jangan lupa nasib yang dialami oleh mereka yang dilanda banjir terutama di pantai Timur. Peluang bercuti ini juga harus diambil untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan, maklum kita hanya berkesempatan bersama anak-anak lebih kurang 4 kali sebulan sebelum ini. Biarlah cuti ini memberi makna kepada anak-anak kita dan dikenang sebagai memori yang indah.

Selamat bercuti.

Sunday, November 29, 2009

Salam Eidul Adha

Allah hu Akbar, Allah hu Akbar, Allah hu Akbar, Wa lilla hilham...
10 Zulhijjah, jemaah Haji telah melaksanakan Wukuf di Arafah, disusuli 11, 12 dan 13 yang merupakan Hari-hari Tasyrik, di mana jemaah Haji melontar di tiga Jamrah.
Diiringi dengan doa sanak saudara, mudah-mudahan bapa, ibu dan sedara mara dan sekelian umat Islam di sana akan dapat melaksanakan ibadah Haji dengan sempurna dan mendapat Haji yang Mabrur, insyaallah.
Kita di sini, walau tidak dapat Wukuf di Arafah, cukuplah sekadar dapat meluangkan masa di surau dan masjid-masjid, walau kita tidak dapat melontar, cukuplah sekadar kita dapat melontar jauh nafsu amarah kita. Walau kita tidak dapat tawaf mengelilingi Kaabah, bulatkanlah tekad agar percaya pada yang Haq ini. Walau kita tidak dapat Saie, jangan pula putus harap dengan usaha ke arah kejayaan dan berdoalah agar kita sentiasa berada di jalan yang lurus. Walau kita tidak dapat menyembelih korban, cukuplah sekadar kita sembelih sifat-sifat buruk yang ada dalam diri kita.
Selamat Eidul Adha.

Tuesday, November 10, 2009

Hari Keusahawanan 2009

Program Hari Keusahawanan dan Hari Keluarga PIBG SMA MAIWP yang berlangsung pada 7 Nov baru-baru ini mendapat sambutan yang menggalakkan terutama dari ibubapa. Program yang julung-julung kali diadakan itu diisi dengan gerai jualan, pameran, pemeriksaan kesihatan, sukaneka dan sebagainya. Program yang antara lain bertujuan untuk melahirkan semangat keusahawanan itu dilihat berjaya melahirkan 'usahawan-usahawanita muda yang luar biasa'.

Friday, October 30, 2009

Hari Keluarga dan Keusahawanan SMA-MAIWP 2009

Insyaallah dengan kerjasama antara warga sekolah dan pibg, Hari Keluarga dan Keusahawanan sma-maiwp 2009 akan diadakan pada 7hb Nov 2009 ini, Sabtu, bermula 7:30 pagi hingga 12:30 tengahari. Ibu bapa sekeluarga dijemput datang disamping turut serta dalam acara-acara yang akan diadakan, iaitu ;
- sepak raga bulatan dan futsal
- pertandingan anyam ketupat
- pertandingan melukis bagi kanak-kanak
- sukaneka
- Cabutan No bertuah
Tidak ketinggalan juga,
- pemeriksaan kesihatan oleh PUSRAWI dan
- derma darah
Disamping gerai-gerai makanan dan minuman [gerai pibg] yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh anak-anak kita dan guru-guru, pihak luar juga dijemput, iaitu ;
- karangkraf
- Ana Muslim
- Dewan Bahasa dan Pustaka
Semoga projek yang pertama kali diadakan ini akan mendapat sambutan yang menggalakkan. Sebagai pesanan ;
- Jemput datang, jangan tak datang
- Beli kupon banyak-banyak
- Habiskan barang jualan
- Sertai acara-acara yang diadakan
- sumbanglah sesuatu untuk sekolah kita
- Bergembiralah....

Sunday, October 18, 2009

SAMBUTAN AIDILFITRI SMAMAIWP 2009











Dengan tema Ukhuwah Lestari Selamanya, majlis yang telah berlangsung pada 17 Oktober 2009 ini mendapat sambutan yang amat memberangsangkan. Kehadiran ibubapa melimpah, juadah nasi minyak dan nasi impit hampir licin. Tak cukup dengan itu, untuk julung kalinya setiap kelas mengadakan 'rumah terbuka' masing-masing. Sekali lagi ibubapa dijamu dengan pelbagai juadah. Tambah teruja, kelas-kelas dihias indah, dengan dekorasi dan susunatur yang menyerlah kretiviti anak-anak kita. Sambil diadakan juga pertandingan hiasan kelas tercantik, pastinya yang menang adalah yang tercantik antara yang cantik-cantik.
Dari ucapan dan persembahan warga smamaiwp yang bersemangat dan amat menghiburkan, pastinya hadirin terhibur bukan sahaja halwa telinga bahkan, perut juga kekenyangan.
Terimakasih kepada semua yang menjayakan sambutan ini, dari Tuan Pengetua, GPK-GPK, Guru-Guru, anak-anak murid yang dikasihi, tidak ketinggalan ibubapa yang hadir. Mohon ribuan kemaafan atas segala kekurangan dan ketidak sempurnaan majlis. Insyaallah jumpa lagi di lain program...




Friday, October 16, 2009

martabatkan profesyen perguruan

Ramai cikgu suka dengan berita ini dan berharap ia menjadi kenyataan.

"Dengan peredaran masa yang berlaku, peranan guru turut berubah, beban tugas yang dipikul oleh mereka terlalu berat.

"Bidang akademik, ko-korikulum, sasaran kerja tahunan, kebajikan pelajar, tusyen, penambahan subjek dan aktiviti lain menuntut pengorbanan masa yang lebih daripada mereka (guru).

"Mereka tidak jemu-jemu dalam mendidik anak-anak kita supaya menjadi insan yang berguna untuk memartabatkan bangsa dan agama,"

Baca lengkap di sini

Wednesday, October 14, 2009

Bakar Dewan, Saman Pengetua dan Jeling-Jeling

Seminggu dua yang lalu, muka depan akhbar-akhbar memaparka berita-berita yang kurang enak dibaca.
Pelajar bakar dewan peperiksaan.
Seorang guru menyaman Pengetuanya.
Kerana jelingan, seorang pelajar koma dibelasah
Lantas, bagaimana kita memastikan ianya tidak berulang lagi....

Sambutan Hari Raya SmaMaiwp 2009

Assalamualaikum wbt,
Alhamdulillah, PMR telahpun tamat dan ada sedikit kelegaan pada anak-anak kita, tidak kurang juga ibu bapa dan guru. Terimakasih atas tunjukajar dan ilmu yang guru-guru curahkan. Berdoalah semoga kejayaan bersama-sama anak-anak kita.
Insyaallah pada 17hb Oktober ini, hari Sabtu akan diadakan Majlis Sambutan Hari Raya Smamaiwp 2009. Dengan setulus hati dijemput ibubapa sekeluarga hadir ke majlis tersebut. Disamping akan dihidangkan dengan juadah yang seadanya, juga berpeluang untuk mengeratkan siratulrahim yang sedia terjalin.
Majlis bermula jam 10.00 pagi, dengan sedikit ucapan alu-aluan, sedikit hiburan dari anak-anak kita, tidak ketinggalan anak-anak kita juga akan mengadakan 'rumah' [kelas] terbuka masing-masing. Dijemputkan ibubapa untuk ke 'rumah' anak-anak untuk menikmati juadah bersama-sama anak masing-masing....apalah rasa 'masakan' anak kita ya...
Semoga kehadiran tuan-tuan dan puan-puan akan memeriahkan majlis kita nanti. Juga minta halal dengan sedikit bayaran yang dikenakan.

Monday, October 5, 2009

PMR

Assalamualaikum wbt,
Dewan peperiksaan PMR akan dibuka pada 7 Oktober 2009 ini. Anak-anak kita akan melangkah masuk dengan debaran dan semangat. Diringi doa ibubapa dan guru. Segala usaha guru-guru selama ini yang menabur bakti mencurahkan ilmu dan menyuntik semangat akan mencambahkan hasilnya pada peperiksaan ini. Semoga usaha kalian diberkati.
Sebagai ibubapa, usaha telah dibuat sedaya mungkin dari sudut lahiriah juga rohaniah. Kepada Allah jualah kita berserah.
Marilah kita sama-sama menadah tangan memohon restu kehadrat Ilahi semoga usaha kita diredhai. Dilapangkan dada anak-anak kita, diterangi hati mereka, dipermudahkan untuk mengingat, menghafal dan memahami pelajaran, diberi bantuan dan petunjuk, dimudahkan menjawab dan mengarang dengan baik dan betul, juga terpelihara kesihatan disamping tabah dan bersemangat tinggi untuk menghadapi peperiksaan ini. Di atas itu semua kita berdoa agar anak-anak kita mendapat keputusan yang memberangsangkan, insyaallah...Amin, Amin, Amin...ya Rabbal Alamin

Thursday, September 17, 2009

Selepas PMR, ke mana anak kita?

PESANAN daripada UBK SMA MAIWP.

Ibubapa diminta berbincang dan memberi panduan kepada anak masing-masing bagi menentukan hala tuju mereka selepas PMR. Ia penting kerana sebahagian pihak telah membuka tawaran untuk memasuki institusi mereka. Lihat/klik di sini
Ibubapa juga dialu-alukan berbincang dengan mereka yang lebih arif. Unit Bimbingan & Kaunseling bersedia memberikan panduan dan bantuan yang sekadarnya.
Salam Ramadhan!

Monday, August 10, 2009

PENGUMUMAN

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Mulai hari ini, saya menyerahkan urusan berkaitan blog smamaiwp.blogspot.com dan pibgsmamaiwp.blogspot.com kepada admin yang baru. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih di atas sokongan, komen, coretan, dsb. daripada pengunjung sepanjang mengendalikan blog-blog ini. Saya juga memohon maaf jika terdapat tulisan dan komen yang menimbulkan kegusaran dan ketidaktenteraman kepada mana-mana pihak. Saya berharap wadah ini akan semakin subur. Sekian, wassalam.
-Pencatat @ abutalhah1

Tuesday, August 4, 2009

PESANAN PENTING

4 Ogos - Pihak pentadbiran sekolah melalui GPK2 menasihatkan para pelajar yang akan datang ke asrama pada petang ini agar membawa dan memakai penutup mulut dan hidung/topeng masing-masing. Beliau juga menasihati pelajar yang masih demam atau tidak sihat supaya terus bercuti (tidak datang ke sekolah/asrama). Pembelajaran akan berjalan seperti biasa bermula esok.

Sila hebahkan makluman ini.

Tuesday, July 28, 2009

Sekolah Ditutup Seminggu

28 Jul- Pihak sekolah telah memutuskan untuk menutup sekolah selama 7 hari bermula 28 hb sehingga 4 ogos ini. Demikian diumumkan oleh GPK HEM dalam perhimpunan khas sebentar tadi. Ia berikutan nasihat yang diberikan Jabatan Kesihatan WPKL setelah ramai pelajar mengalami demam-demam, batuk, selsema, muntah dan sebagainya. Para pelajar dijangka akan pulang ke rumah masing-masing pada petang ini. Tiada virus H1N1 dikesan.
.
Pesanan dari Cikgu Izzah (GPKHEM) : Pastikan anak-anak mengulangkaji pelajaran. Kerjasama ibubapa amat diharapkan - Webmaster/blogger b/p C. Izzah.