Wednesday, July 8, 2009

GURINDAM PELAJAR

Jika anda jadi pelajar,
Jangan malas hendak belajar.

Jika anda menuntut ilmu,
Jangan sekali berasa jemu.

Jika rajin mengulang kaji,
Mudah jawab apa diuji,

Jika anda hendak berlatih,
Mesti tahan penat dan letih.

Jangan asyik berangan-angan,
Tekun gigih jadi pegangan.

Jika berusaha sambil lewa,
Tak hairan kalau kecewa.

Jika belajar tak jemu,
Banyak ilmu akan ditemu.

Apa gunanya banyak bercakap,
Jika kerja tidak cekap.

Jika suka ponteng sekolah,
Ilmu tidak dapat tentu rugilah.

Berusaha dengan bersungguh-sungguh,
Jangan suka tangguh-tangguh.

Jika tak mahu dengar nasihat,
Apabila besar jadi jahat.

Jika tulisan terang dan bersih,
Hati pemeriksa sayang dan kasih.

Banyak membaca fikiran kaya,
Rajin berusaha pasti berjaya.

Jika tulisan tak boleh dibaca,
Mata pemeriksa akan berkaca.

Masa itu emas dan wang,
Walaupun sedikit jangan dibuang.

Jangan nanti esok lusa,
Masa beredar tanpa dirasa.

Jika leka sering bersuka,
Tidak hairan datang celaka.

Jika rajin membaca buku,
Otak cerdas tidak beku.

Jangan mudah putus asa,
Semua harapan hancur binasa.

Jika anda bekerja kuat,
Banyak perkara boleh dibuat.

Budi bahasa amat berharga,
Tingkah laku wajib dijaga.

Sudah tahu belajar lagi,
Banyak untung tiada rugi.


MAS ADEKI 15 ogos 1992

Dipetik dari:
Seuntai Kasih Secebis Harapan

No comments: